Saturday, February 26, 2011

20 Dis 2007 ( 11/12 Zulhijjah 1428H ), Khamis:

Hari Ke 24.

MINA:

5:20 pagi, 11 Zulhijjah 1428H ( 20 Dis 2007): 
Setiba saya tiba di khemah di kem 87 pada pukul lebih kurang 5:20 pagi, jemaah-jemaah telah bersiap-siap untuk solat Subuh berjemaah (masuk waktu 5:30 pagi).  Dengan keadaan keletihan, saya pergi mengambil wuduk sambil diperhatikan oleh jemaah-jemaah yang lain dalam kehairanan.  Di dalam hati saya, mungkin mereka terfikir, kenapa saya masih berpakaian ihram.


Selepas solat Subuh berjamaah, dengan masih berpakaian ihram, saya terus baring dan tidur dengan nyenyak hingga ke pukul 9/10 pagi.  Selepas itu, barulah saya terus mandi membersihkan diri dan menukar pakaian ihram saya.

Untuk sekadar maklumat, saya dikenakan dam kerana keluar dari Mina dan tidak bermalam (mabit) di Mina sekurang-kurangnya SEPARUH MALAM (lebih kurang 6 jam) untuk pergi ke hospital untuk buat rawatan dialysis.  Saya dikenakan dam lebih kurang sebanyak RM350 (Menyembelih seekor kibas/kambing atau
1/7 daripada lembu, unta, kerbau).

Nota:
           Jemaah melalui Tabung Haji (TH) Muassasah dan FELDA Travels diberi kemudahan
ambulan pergi-balik dari kem ke tempat rawatan dialysis yang sama dengan saya iaitu di hospital An-Nur semasa di Mina pada tahun 2007 yang disediakan oleh pihak Tabung Haji (TH).  Oleh itu, jemaah dialysis TH mendapat lebih keselesaan dan kemudahan berbanding dengan apa yang saya alami yang menggunakan pakej swasta yang didaftar dan diluluskan oleh TH.  Ini mungkin rezeki masing-masing yang tinggal di MALAYSIA ( 1MALAYSIA : RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN).  Namun saya sudah cukup bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana telah dipilih sebagai "TETAMUNYA".

Walaupun dalam sedikit kepayahan, saya telah diajar erti kesusahan dan kemanisan beribadah dan telah dapat menunaikan haji, dan juga telah membuka mata saya tentang terdapatnya "Double Standard" diamalkan walaupun dalam perkara mengerjakan ibadah dan juga menjaga kebajikan dan memberi kemudahan kepada jemaah-jemaah "SATU MALAYSIA - SESAMA MALAYSIA, SESAMA ISLAM". 

Namun saya TETAP MENYOKONG dan MELABUR kepada Lembaga tersebut supaya semoga ramai lagi jemaah-jemaah akan datang, termasuk yang senasib dengan saya, akan mendapat lebih kemudahan, dibantu dan disokong untuk menunaikan haji seperti sebagaimana KERAJAAN ARAB SAUDI LAKUKAN.

Sebagai "TETAMU ALLAH", kerajaan ARAB  SAUDI mengalu-alukan dan MELAYAN jemaah haji yang ber-dialysis yang tidak bernasib baik ini dari seluruh dunia (Turki, Indonesia, China, India, Pakistan dll.....yang saya jumpai di sana) dengan AMAT BAIK sekali , dengan BEKERJA SHIF 24 JAM pada musim haji di department haemodialysis unit (saya pernah cuci dari pukul 11:30 malam hingga 3:30 pagi) ,  dengan RAWATAN HEMODIALYSIS PERCUMA,  ubat-ubatan berkualiti percuma seperti EPREX injection PERCUMA sekehendak kita suka, makanan (termasuk buah-buahan) dan minuman (panas dan sejuk) berqualiti dan lazat PERCUMA serta khidmat DOKTOR PAKAR PERCUMA, moga-moga Allah SWT saja dapat membalas jasa baik mereka-mereka yang telah MEMBANTU jemaah-jemaah beribadah kepadaNYA... ALLAHUAKBAR.  Amiin.

Di Mina juga, khemah-khemah kalis api sudah lama siap didirikan.  Ramai jemaah-jemaah dari seluruh pelusuk dunia juga membawa barang-barang untuk diniagakan pada musim haji ini.  Ada banyak barang yang belum pernah dilihat dijual di sini.  Banyak juga batu-batu permata dan "ubat-ubat dan minyak-minyak kuat" dijual.  Macam-macam lagak manusia kita boleh perhatikan.  Macam-macam warna kulit, bahasa, cara pemakaian, yang cantik dan kurang cantik boleh dilihat.  Ini semua kebesaran Allah SWT yang membuat manusia itu berbeza-beza supaya kita saling kenal-mengenali.... ALLAHUAKBAR.

Nota:
Sila perhatikan pada gambar, ramai jemaah-jemaah haji sudah memakai pakaian berjahit, kerana Tahallul Awal telah dihasilkan. 
Saya dalam pakaian ihram selama lebih kurang 3 hari ( selepas Asar 8 Zulhijjah hingga selepas Subuh 11 Zulhijjah ).




Di bawah menunjukkan khemah untuk kem/maktab 87 di Mina.

Nota:
Semasa di Mekah, Package Pengelola Haji yang saya ambil mengenakan CAJ TAMBAHAN RM500 (tiada paksaan) kepada sesiapa yang ingin tinggal di khemah ini yang katanya lebih selesa dengan tilam, selimut dan bantal dengan makanan dihidangkan secara buffet.  Kepada sesiapa yang memilih tidak membayar RM500, terpaksa tinggal di khemah kurang selesa.  Saya dan isteri MEMILIH untuk membayar RM500  TAMBAHAN untuk tinggal di khemah yang selesa ini.  Ramai juga dari jemaah-jemaah dari package saya memilih membayar caj optional tambahan RM500 ini. 

Dari pemerhatian saya, bergantung kepada package tertentu, saya dapati kawan-kawan saya dari package yang berlainan, tidak perlu membayar tambahan RM500 untuk tinggal di khemah-khemah berdekatan dengan khemah saya.  Tentang keselesaan, saya kurang pasti.  Boleh rujuk kepada wakil-wakil package ketika memilh package nanti kepada sesiapa yang memilih untuk tidak pergi dengan TH muasassah tapi sebaliknya dengan package, terutamanya tentang kemudahan berulang-alik berdialysis kepada jemaah-jemaah yang berdialysis.

Adalah saya fahami, semua jemaah-jemaah dari Asia Tenggara akan dilonggokkkan di satu kelompok khemah-khemah yang sama (dekat dengan pintu terowong Muassem seberang sana bertentangan dari tempat melontar), dan kelompak khemah-khemah ini adalah mengikut zon benua, dan akan digilir-gilirkan setiap tahun.

Saya rasa ini adalah sistem yang bagus, kerana kerajaan Arab Saudi dapat mengatur jadual melontar dengan baik dan memberi peluang sama rata semua zon benua tinggal di khemah dekat dengan tempat melontar mengikut tahun.  Ia juga bagi mengelakkan pertembungan lautan manusia pada satu-satu masa untuk melontar dari semua pelusuk zon benua, seperti peristiwa pijak-memijak yang telah terjadi di terowong pada masa-masa yang lepas.

Saya dapati pada tahun saya, selepas semua jemaah-jemaah Malaysia melontar, maka tibalah pula ketibaan jemaah-jemaah dari Indonesia dengan bilangan yang jauh lebih besar datang melontar selang beberapa minit.

Banyak penambah-baikan telah dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi telah dilakukan di tempat melontar ini untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini terus berlaku. 
Contohnya, semasa saya di sana, tingkat 1 melontar sudah siap.  Dikatakan, ia akan di buat sehingga 5 tingkat.

Saya selalu melontar di tingkat 1 yang saya dapati tidak begitu sesak pada masa dan tahun saya melakukan haji.


10:58 pagi, 11 Zulhijjah 1428H (20 Dis 2007):



10: 36 malam, 12 Zulhijjah 1428H ( 20 Dis 2007 ):
Mula bertolak (selepas Isya') untuk melontar ketiga-tiga Jamrah ( Pertama-Jamrah Sughra (7 biji anak batu), Kedua-Jamrah Wusta(7 biji) dan Ketiga-Jamrah Kubra (7 biji) ) untuk hari Tasyriq Pertama,
11 Zulhijjah yang dilakukan selepas Isya' pada tarikh 12 Zulhijjah ini.

Nota:
Haram bawa balik ke Malaysia batu dari Tanah Haram seperti yang dikutip di Muzdalifah, nanti kena hantar balik ke Tanah Haram kembali jika tersalah bawa balik dan dikenakan dam. Batu-batu kecil lebihan melontar hendaklah ditinggalkan di Tanah Haram juga.

Terdapat cerita yang mengatakan kehidupan jemaah tidak tenteram dan ada saja yang tidak kena bila balik ke tanah air. Setelah disiasat, rupanya didapati beliau menyimpan batu dari Tanah Haram sebagai souvenir. Setelah batu itu dihantar balik ke Tanah Haram, barulah kehidupannya tenteram. Wallah hu aklam.

Menuju ke terowong Muassem dari kem 87 (terowong sebelah kanan gambar selepas fly-over).


Berada dalam terowong (panjangnya lebih kurang 560 meter).


Sudah berpakaian biasa selepas bertahallul awal(gambar dalam terowong):-


11:28 malam, 12 Zulhijjah 1428H ( 20 Dis 2007 ) :
Selesai melontar jamrah ketiga, jamrah paling akhir, iaitu Jamrah Kubra, lebih kurang pada pukul 11:28 malam, 12 Zulhijjah 1428H ( 20 Dis 2007) iaitu beberapa minit (32 minit) saja lagi untuk masuk pada tarikh
21 Dis 2007 ( 12 Zulhijjah 1428H).

Gambar di Jamrah Kubra.



Berikut adalah gambar jarak perjalanan dari Kem 87 ke tempat melontar Jamrah pada tahun 2007 (kem penginapan mungkin berubah dari tahun ke tahun). Jarak satu hala lebih kurang 2.65 km. Jarak dua hala iaitu pergi dan balik lebih kurang 5.3 km. Kem terletak betul-betul tepi pintu keluar masuk terowong Muassem.


Nota: Klik pada gambar untuk besarkan dan klik "BACK" untuk balik kepada blog.