Tuesday, October 5, 2010

29 Nov 2007 (19 Zulkaedah 1428H ), Khamis :

Hari Ke 3 di Mekah.

Dan hari pertama dialysis di Mekah, di Hospital Pakar Alnoor (Alnoor Specialist Hospital).  Sesetengah orang menyebut Hospital An-Nur.

7:49 pagi:

Gambar pemandangan sekitar Hospital Pakar Alnoor, Mekah.   Hari pertama dialysis di Mekah pukul 7 pagi patut start.  Orang ramai, kena tunggu turn.  Khidmat rawatan dialysis 24 jam pada musim haji di Mekah.  Pokok begitu hijau bila tiap hari kena siram.

Perjalanan dari Hotel Dar Al-Safa ke Hospital An-Nur adalah lebih kurang 6.87 km mengikut laluan merah yang tertera di gambarajah di bawah.  Kenderaan (biasanya teksi, atau mungkin sekarang dah ada motosikal sewa) terpaksa pusing jauh dari Masjidil Haram kerana banyak jalan-jalan sekeliling Masjidil Haram di tutup pada kenderaan bagi mengelakkan kesesakan lalulintas dan memberi keselamatan kepada jemaah-jemaah yang mundar-mandir di sekeliling masjid Al-Haram.

Nota: Sila klik pada gambar untuk besarkan. Tekan browser "Back Button" untuk balik kepada Blog.





 
 
Kali pertama dialysis ke Hospital An-Nur di temani mutawwif.  Harga tambang teksi pada masa awal musim haji semurah SR5 sehala, meningkat SR10, SR30 dan mencecah SR100 menjelang hari wuquf dan sebaik selepas wuquf.
 
Semakin lama ke hari wuquf, banyak jalan-jalan berhampiran Masjidil Haram di tutup.  Untuk mendapatkan teksi, saya terpaksa berjalan jauh berseorangan kerana khidmat mutawwif susah didapati kerana sibuk melayani jemaah-jemaah dan urusan-urusan yang lain.  Kenderaan dan jemaah haji begitu sesak pada waktu lebih kurang seminggu sebelum dan selepas wuquf.  Di sinilah pemandu-pemandu teksi mengambil peluang untuk menaikkan tambang teksi sehingga SR100 sehala kerana kekurangan teksi, terlampau ramai pelanggan dan teksi tidak datang membuat banyak pusingan kerana jam.
 
Jadi amatlah disarankan agar untuk membawa duit lebih untuk belanja teksi sahaja.  Saya rasa berbelanja untuk tambang teksi di Mekah lebih kurang SR500.  Itu pun saya selalu tawar menawar dan memilih teksi yang menawarkan tambang tidak lebih dari SR30.
 
Saya pernah terjumpa pemandu teksi di Jalan Al Shamiah (100 meter dari Masjidil Haram) yang menawarkan tambang SR100 sewaktu hari menjelang wuquf.  Saya tidak mengambil teksi tersebut, dan berjalan kaki seorang diri tanpa panduan sejauh 1.5 km dari Masjidil Haram keluar masuk terowong menahan bunyi bising kipas terowong dan asap kenderaan dan akhirnya berjaya mendapatkan teksi dengan harga SR50 di penghujung terowong.
 
Ini salah satu pengalaman yang susah unutk saya lupakan.  Sepanjang berjalan kaki, saya tidak putus-putus berdoa kehadrat Illahi untuk mendapatkan teksi.  Dengan pertolongan Illahi, doa saya dimakbulkan dan berjaya mendapat teksi unutk rawatan dialysis.
 
Begitu juga selepas berada di Mina (selepas wuquf) dan kembali ke Mekah.  Alangkah susahnya untuk mendapatkan teksi, dan jika ada pun tambangnya tidak kurang dari SR100 pada masa itu.
 
Saya pernah skip 1 kali dialysis kerana tunggu berjam-jam tapi tak jumpa-jumpa teksi dan pada esoknya begitu juga, saya cuba cari ke arah yang lain dan terpaksa berjalan tanpa panduan akhirnya balik semula ke hotel kecewa tanpa rawatan dialysis.
 
Adalah amat dinasihati untuk mencari khidmat pakej umrah yang ada khidmat mutawwif yang bertanggungjawab dan membantu terutamanya untuk mendapatkan kenderaan (teksi, motosikal atau lain-lain) untuk rawatan dialysis dan tidak tertinggal mana-mana hari dialysis.
 
Semoga pengalaman saya ini menjadi pedoman untuk jemaah dialysis yang lain samada menunaikan haji atau umrah.


No comments:

Post a Comment